Monday, January 17, 2011

Dhuha...

Firman Allah s.w.t :
Demi waktu Dhuha dan demi Malam apabila menjadi sepi. Tidaklah Tuhanmu meninggalkanmu dan tidaklah Dia membencimu. Dan Akhirat itu lebih baik daripada dunia ini. Dan pasti Tuhanmu akan memberi kepadamu kurniaan hingga kamu menjadi suka.

(Surah al-Dhuha : 1-5 )

Sebagai orang beriman, kita perlu menyakini bahawa segala-gala dalam kehidupan kita ini adalah dalam pengurusan Allah s.w.t. Dialah yang menghidupkan dan Dialah yang mematikan. Daripadanya datangnya segala kebaikan dan daripada-Nya juga datang segala keburukan.

Dhuha adalah nama kepada waktu. Dalam Islam, setiap waktu ada namanya tersendiri, setiap waktu juga ada keistimewaan dan keberkatan.

CONTOH NAMA-NAMA WAKTU DALAM ISLAM

1. Maghrib : Sesudah tenggelam matahari dan permulaan hari
2. Isyak : Permulaan Malam
3. Lail : Pertengahan Malam
4. Sahur : Penghujung Malam
5. Fajr : Pancaran cahaya matahari semasa akan terbit
6. Syuruq : Semasa matahari terbit
7. Subuh : Pagi
8. Dhuha : Antara sesudah terbit hingga sebelum tertegaknya matahari
9. Istiwak : Matahari tegak di atas kepala
10. Zuhur : Setelah tergelincir matahari
11. Asar : Matahari condong ke barat
12. Ghurub : Tatkala matahari tenggelam

Islam menamakan setiap waktu-waktu ini untuk kemudahan umatnya dan agar mereka dapat mencari keistimewaan setiap waktu-waktu tersebut.

Antara kepentingan mengetahui waktu-waktu ini bagi seorang hamba Allah adalah untuk masa beribadah atau menyembah Allah atau masa-masa untuk bertemu Allah . Bagi tujuan untuk menyembah Allah s.w.t , waktu itu terbahagi kepada tiga iaitu :

1. Waktu Wajib

2. Waktu Sunat

3. Waktu Haram


WAKTU WAJIB

Waktu yang telah di tentukan bagi kewajiban solat iaitu Maghrib, Isyak, Subuj, Zuhur dan Asar


WAKTU SUNAT

Waktu-waktu yang mana padanya disunatkan kita melakukan solat-soalt sunat seperti Tahajud, Dhuha, Tasbih,Hajat,Istikharah, Gerhana dan lain-lain


WAKTU HARAM

Waktu-waktu yang di haramkan kita melakukan solat-soalt sunat adalah waktu-waktu tersebut adalah Syuruq, Istiwak dan Ghurub.

Kembali kepada Solat Dhuha, ia adalah antara waktu yang di berkati dan ditetapkan oleh Allah bagi hamba-hambanya yang mahu mendapat kekuatan jasmani dan kemurahan rezeki.


Dalam al-Quran surah al-Dhuha, Allah s.w.t telah BERSUMPAH demi kehebatan waktu Dhuha.

Firman Allah s.w.t :
Demi waktu Dhuha dan demi Malam apabila menjadi sepi. Tidaklah Tuhanmu meninggalkanmu dan tidaklah Dia membencimu. Dan Akhirat itu lebih baik daripada dunia ini. Dan pasti Tuhanmu akan memberi kepadamu kurniaan hingga kamu menjadi suka.

(Surah al-Dhuha : 1-5 )


Selalunya setiap sesuatu yang dijadikan sebagai bahan sumpah Allah s.w.t mengandungi kepentingan yang sangat hebat.

Di sini Allah s.w.t menjadikan waktu Dhuha sebagai bahan persumpahan-Nya. Itu menunjukkan bahawa waktu Dhuha itu ada keistimewaannya , antara keistimewaannya adalah seperti yang telah di sebut oleh Allah s.w.t., waktu Dhuha adalah waktu Allah s.w.t mencurahkan kurniaan kepada hamba-Nya.

Kurniaan Allah suatu kurniaan hakiki yang pasti akan menggembirakan kita.

Oleh itu sesiapa yang mahukan kurniaan Allah s.w.t hendaklah dia berhubung dengan Allah s.w.t melalui ibadah solat sunat Dhuha.

Sabda Rasulullah s.a.w dalam hadis Qudsi yang bermaksud :


" Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud , "Hai anak Adam, solatlah kepadaKu empat rakaat pada permulaan siang nescaya akan Aku cukupkan keperluanmu pada akhir siang." (Riwayat Tirmizi)

Orang yang lemah imannya selalunya akan berpaling daripada Allah lalu pergi menemui bomoh untuk mendapatkan tangkal dan pelaris. Rumah dan gerai-gerai dipenuhi wafak-wafak yang mereka percaya boleh membantu memberi mereka kejayaan, tetapi akhirnya tetap juga kecewa. Perbuatan-perbuatan sedemikian syirik dan menjadikan Allah s.w.t. murka kepada mereka dan hilang keberkatannya.

Sebaliknya orang yang kuat imannya kepada Allah s.w.t akan tetap menaruh keyakinan penuh terhadap Allah s.w.t . Mereka yakin Allah sahaja yang boleh memberikan kesenangan dan kepayahan.

Sebagai tanda kekuatan iman mereka kepada Allah, apa-apa sahaja keperluan mereka, mereka akan meminta hanya kepada Allah melalui amal ibadah.

Firman Allah s.w.t

" Hai orang beriman bertakwalah kepada Allah dan carilah kepada-Nya wasilah. Dan berjuanglah di jalan Allah, semoga kamu berjaya. "

( Surah al-Maidah : 35 )

Sent by Hj Zawal from my BlackBerry® smartphone

1 comment:

EILA said...

sangat berguna info ini G..tima kasih byk2..