1. Sedarkah anda betapa pentingnya Solat Subuh berjemaah di dalam membina peribadi kehidupan masyarakat mukmin. Tonggak kekuatan ummah itu sendiri bermula dari Solat Subuh berjemaah. Sekiranya kita mengetahui betapa besarnya nilai solat ini kemudian kita saksikan ada orang yang meninggalkan solat subuh berjemaah di masjid maka kita akan mengetahui betapa besar musibah yang telah menimpa mereka.SabdaRasulullah SAW " sesungguhnya dua solat iaitu isyak dan subuh adalah solat yang berat bagi orang munafik. Sesungguhnya apabila mereka mengetahui apa yana ada dalam solat subuh dan isyak maka mereka akan mendatanginya sekalipun dengan merangkak." HR Ahmad dan An-Nasa'iGanjaran pahala solat Subuh mengatasi keindahan dunia sebagaimana sabda Rasulullah SAW: "Sesiapa yang menunaikan solat Subuh, maka ia berada dalam jaminan Allah SWT. Kerana itu, janganlah kamu mencari jaminan Allah SWT dengan sesuatu (selain daripada solat), yang pada waktu kamu mendapatkannya, lebih-lebih lagi ditakuti kamu tergelincir ke dalam api neraka." (Hadis riwayat Muslim).Rasulullah SAW mengetahui waktu Subuh adalah waktu yang sangat sulit dan payah untuk bangun dari tidur. Seorang Muslim bila dibiarkan begitu saja (tertidur), akan memilih untuk merehatkan dirinya sampai terjaga hingga terbit matahari dan meninggalkan solat Subuh, atau 'Subuh gajah', iaitu dikerjakan solat Subuh tidak pada waktunya yang betul. Sesungguhnya ini adalah ujian yang sukar, namun bukan sesuatu yang mustahil. Nilai tertinggi dalam ujian ini iaitu bagi seorang lelaki adalah solat subuh secara rutin berjemaah.Keutamaan solat Subuh diberikan ganjaran pahala melebihi keindahan dunia dan seisinya, sebagaimana disebutkan dalam hadis riwayat Imam at-Termizi: "Dari Aisyah telah bersabda Rasulullah SAW, dua rakaat solat Fajar pahalanya lebih indah daripada dunia dan seisinya." Begitulah keistimewaan solat Subuh. Apakah yang menghalang kita untuk menyingkap selimut dan mengakhiri tidur untuk melakukan solat Subuh? Bukankah solat Subuh menjadi bahagian yang begitu besar kemuliaannya dibandingkan dunia dan seisinya?