Tuesday, August 17, 2010

M E L A Y U

Melayu


Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan.

Melayu itu berani jika bersalah
Kecut takut kerana benar,
Janji simpan di perut
Selalu pecah di mulut,
Biar mati adat
Jangan mati anak

Melayu di tanah Semenanjung luas maknanya:
Jawa itu Melayu,Bugis itu Melayu,Banjar juga disebut Melayu,
Minangkabau memang Melayu,Keturunan Acheh adalah Melayu,
Jakun dan Sakai asli Melayu,Arab dan Pakistani, semua Melayu,
Mamak dan Malbari serap ke Melayu,
Malah mua‘alaf bertakrif Melayu

Dalam sejarahnya
Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan
Sayangnya kini segala kehilangan

Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara
Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal
Tanah sebidang mudah terjual
Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba

Berbuahlah pisang tiga kali
Melayu itu masih bermimpi
Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri
Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak
Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh di cari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing

Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan
Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturahim hati yang murni
Maaf diungkap sentiasa bersahut
Tangan dihulur sentiasa disambut
Luka pun tidak lagi berparut

Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Selagi yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:
“Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran”

Bagaimanakah Melayu abad kedua puluh satu
Masihkah tunduk tersipu-sipu?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan

Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara merdeka.

Usman Awang

11 comments:

Hj.Zawalajam Hj.Mashod said...

salam,menarik!
'tak kan melayu hilang di dunia'

Anonymous said...

melayu : jaguh buang anak merata...

Anonymous said...

mangkuk...lu pon melayu...kita x tau anak yang bersepah tu anak melayu or anak indon..so jgn sesuka hati...

Anonymous said...

Anonymous 10.27am,belajar lah jadi melayu yang buat kritik membina.Jgn ikut sedap mulut sahaja dan dedah yg buruk.Tak malu ke condemn bangsa sendiri?bagilah cadangan utk mengatasi.

Anonymous said...

Anonymous 10.27am. Tak faham dengan sikap anda yg selalu negative. Beristighfarlah banyak-banyak.

nazwellazo said...

indah bukan puisi melayu?
susun kata nya mnyentap jiwa
penuh isi..penuh sinis, tapi di sampai berkias habis

Has_mimi said...

Salam Dr Azmil

Thanks 4 sharing. Pernah baca dulu tpi x ingat di mana.... thanks again & hopefully mnjadi ikhtibar utk warga AB.

drafz said...

Orang yang dah pun kuasai 80% ekonomi negara masih lagi MENDESAK liberisasi supaya menambah participation mereka dalam industri tertentu...
Insaflah bangsaku

Anonymous said...

x kan melayu hilang didunia..tapi kalu semua melayu mcm mangkuk tandas Anonymous 10.27am,melayu akan merempat di bumi sendiri suatu hari nnt..mari kita ramai2 KAB pangkah BN for the next PRU...keluar bulatan kita masuk barisan...demi kepentingan masa depan anak2 kita..jgn gadaikan masa depan mereka...

achon said...

Anonymous 19 August 10:12pm. Harap janganlah timbulkan unsur-unsur pegangan politik dalam blog ini. Teguran dan pandangan anda dihargai.

Hj.Zawalajam Hj.Mashod said...

setuju,blog ni blog keluarga,bukan politik.jgn nak timbulkan apa2 masalah.