Assalamualaikum W.B.T, salam sejahtera buat semua sahabat dan pengunjung laman Kenangan Terindah ini.
Mengapa perlunya menghargai perasaan orang lain? Persoalan ini akan terjawab apabila kita menanyakan kembali soalan itu kepada diri sendiri dalam bentuk soalan “Mengapa pelu menjaga perasaan sendiri?”. Dalam konsep ‘Hablum Min-Annas’ telah jelas di situ akan maksudnya bahawa kita perlu menjaga hubungan sesama manusia selain menjaga hubungan dengan Maha Pencipta( Hablum Min-Allah). Perlunya menjaga perasaan orang lain sama pentingnya menjaga perasaan sendiri, kerana Allah SWT telah menjadikan naluri manusia itu suka akan penghargaan, pujian dan kelembutan tutur kata.
Sebagaimana firman Allah:
“Maka dengan sebab rahmat yang melimpah-limpah dari Allah kepadamu wahai Muhammad engkau telah bersifat lemah lembut kepada mereka sahabat-sahabat dan pengikutmu dan kalaulah engkau bersifat kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu”. ( Surah Aali- Imran ayat 159 )
Penghargaan kepada perasaan orang lain tidak bermakna perlu bersetuju dengan apa yang diucapkan. Bersetuju melibatkan fakta sama ada apa yang dikatakan itu benar atau salah. Manakala menghargai pula melibatkan emosi dan perasaan, ia adalah dua perkara yang berbeza. Kita haruslah berhati-hati dalam menggunakan kedua-dua cara ini dalam satu masa, kerana masalah mungkin akan timbul akibat campur aduk ini.
Menghargai perasaan orang lain boleh berlaku dengan cara kita mendengar dan memberi perhatian kepada apa yang diceritakan kepada kita dan kita menyelami perasaan orang yang sedang berkata-kata itu. Selain itu cara yang paling mudah adalah dengan diam, mengangguk, dan melihat ke wajahnya semasa dia sedang berkata-kata. Selain itu kita boleh menggunakan komen-komen neutral yang biasa digunakan seperti “ ya, betul.” , “ Ok,” , “Oh!”, “Menarik, menarik…”, “Iya ker?, “Teruskan”, “Isyyy…kasihannya awak.” , “Oh, begitu,” dan sebagainya. Komen neutral ini membantu mendorong orang yang sedang bercakap supaya terus bercakap dan meluahkan masalahnya sehingga kesusahannya hilang selepas dia berasa dihargai kerana ada insan yang sudi mendengar keluhan keresahannya.
sumber Fitrah Power
No comments:
Post a Comment