Hari Jumaat ialah hari kebesaran
Islam bagi orang mukmin. Hari yang mulia ditentukan buat umat Muhammad SAW. Pada
hari itu kepada sesiapa yang berdoa Allah akan memakbulkan doanya. Setiap muslim
dikehendaki mempersiapkan diri untuk hari Jumaat mulai dari hari Khamis dengan
membersihkan pakaian dan memperbanyakkan tasbih serta memohon keampunan kepada
Allah SWT pada malam Jumaat lagi. Kerana pada masa itu nilai mulianya sama
dengan masa yang dirahsiakan oleh tuhan pada hari Jumaat
Amalan Sunat Hari Jumaat
Pada subuh hari Jumaat, maka setiap
muslim digalakkan mandi, kemudian memakai pakaian yang berwarna putih kerana
pakaian putih lebih disukai Allah. Pakailah minyak wangi yang diharuskan dan
berhiaslah dengan memotong rambut, mencukur kumis, memotong kuku dan menggosok
gigi.
Sesudah itu bersegeralah ke masjid..
Sabda Rasulullah SAW: " Sesiapa yang masuk dahulu ke dalam masjid pada hari
Jumaat untuk sembahyang Jumaat, maka seolah-olah dia sudah berkorban dengan
seekor unta dan orang yang masuk pada waktu yang kedua berkorban dengan seekor
lembu dan yang masuk pada waktu ketiga maka seolah-olah dia berkorban dengan
seekor kambing dan siapa yang masuk ke masjid pada waktu keempat maka
seolah-olah ia berkorban dengan seekor ayam, dan orang yang masuk waktu kelima
maka seolah-olah dia berkorban dengan sebutir telor. Maka apabila naik imam ke
atas mimbar ditutupnya buku catatan dan diletakanlah pena oleh malaikat dan
mereka berkumpul dekat mimbar mendengar khutbah"
Kemudian apabila seseorang memasuki
masjid, maka ambillah saf pertama dan apabila saf itu sudah penuh ambillah
tempat yang kosong dan jangan melangkahi bahu orang lain serta jangan lalu di
hadapan orang sedang sembahyang.
Solat Sunat dan Bacaan Surah
Pilihan
Kerjakanlah sembahyang tahiyatul
masjid dan yang paling afdhal hendaklah menunaikan sembahyang itu empat rakaat
dengan membaca setiap rakaat sesudah Fatihah dengan bacaan Surah Al-Ikhlas
sebanyak 50 kali. Dalam sebuah hadis dinayatakan: "Barangsiapa yang
mengerjakan sembahyang itu tidak akan mati sebelum ia melihat tempat di syurga"
Jangan tingggalkan sembahyang
tahiyatul masjid sekalipun imam sedang berkhutbah. Di Dalam sunnah dinyatakan
bahawa sangat baik jika membaca dalam keempat-empat rakaat sembahyang itu dengan
surah Al-Anaam, Al-Kahfi atau Yasin. Jika tidak mampu maka bacalah Surah Yasin
atau Surah ad-Dukhan atau Alif Lam As-Sajdah atau surah Al-Mulk tetapi jangan
sampai tidak membaca surah-surah itu pada malam Jumaat, kerana di dalamnya
terdapat beberapa kelebihan.
Manakala pada hari Jumaat pula
hendaklah ia memperbanyakkan membaca surah al-Ikhlas dan selawat ke atas Nabi.
Apabila Imam naik ke mimbar hentikanlah sembahyang sunat dan juga berkata-kata,
jawablah seruan muazzin kemudian perhatikan khutbahnya.. Apabila selesai dari
sembahyang Jumaat, maka bacalah Al-Fatihah 7 kali sebelum berkata-kata dan
surah Al-Ikhlas, Surah Ma'uzatain (Surah Al-Falak dan An-Nas) amalan sebanyak 7
kali (Lihat Kitab Sirussalikin Jil 1 - 2. m.s 82).
Hal itu dapat memelihara diri
seseorang muslim dari satu Jumaat hingga Jumaat akan datang dan memeliharanya
dari syaitan.
Kemudian beradalah di masjid hingga
waktu Asar atau sampai Maghrib dan hendaklah memperelokkan dalam beribadah pada
waktu yang baik iaitu sepanjang hari Jumaat.
No comments:
Post a Comment