Thursday, October 7, 2010

WARKAH UNTUK YDP - Versi Juri Peraduan

  M Azlin binti Sajadi JBS 117, Kg Parit Sawah, 84710 Kundang Ulu, Ledang, Johor. Tarikh     :   26 September 2010 Kepada, Yang Dipertua, Keluarga Al-Bajuri, No. 10, Jalan Berlian 7/1A, 40000 Shah Alam, Selangor. Assalamulaikum warahmatullahi wabarakatuh.. Yang berbahagia ayahanda YDP yang dikasihi, Saya harap warkah ini menemui ayahanda dalam suasana yang dirahmati Alalh sentiasa. Saya dan keluarga di sini, alhamdulillah, masih dikurniai Allah dengan kesihatan dan  keimanan. Ayahanda, anakanda ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada ayahanda yang telah berjaya memberikan inspirasi kepada anak-anak dan cucu-cucu dalam kalangan KAB untuk mengambil bahagian dalam Peraduan Warkah Untuk YDP ini. Anakanda juga merasa bertuah dan besyukur kerana telah diberi kepercayaan untuk menjadi sebahagian daripada juri dalam menentukan pemenang bagi peraduan ini. Jauh di sudut hati anakanda rasakan bahawa anakanda tidak layak untuk menjadi pengadil kerana merasakan diri ini tidak mempunyai kemahiran dalam bidang ini. Namun anakanda merupakan seorang yang tidak suka menolak kerja atau kepercayaan yang telah diberi .  Alhamdulillah, Allah telah memberi kekuatan kepada anakanda untuk melaksanakan tugas ini. Ayahanda, dalam membaca warkah-warkah yang telah ditulis oleh sebahagian ahli KAB, hati anakanda tersentuh, sayu, gembira dan emosi anakanda sukar untuk digambarkan dengan kata-kata. Anakanda merasa kagum dengan anak-anak G3 dan perkspektif mereka terhadap keluarga besar Al-Bajuri.  Rata-rata menyuarakan keterujaan mereka menantikan hari perhimpuan keluarga setiap tahun.  Setinggi-tinggi kesyukuran anakanda panjatkan kepada Allah SWT kerana telah memenuhi hati setiap kita dengan "mawaddah" (kasih sayang) yang begitu tinggi antara satu sama lain. Ayahanda, selama lebih 36 tahun kita berorganisasi secara tidak formal, alhamdulillah baru-baru ini terdapat ura-ura untuk mendaftarkan organisasi kita ini agar pergerakannya menjadi lebih teratur dan sempurna.  Sesungguhnya dalam melayari kehidupan ini kita akan mengharungi pelbagai cabaran yang perlu kita sama-sama atasi dengan penuh rasa ukhuwah yang  tinggi.   Organisasi yang mantap akan membantu kita untuk menghadapi apa jua rintangan dengan kekuatan yang bersepadu.   Ayahanda, ruang yang diberikan kepada ahli-ahli KAB untuk mencurahkan perasaan, idea dan seumpamanya dalam bentuk tulisan adalah satu langkah yang sangat positif.  Seperti yang disarankan oleh sebahagian daripada penulis-penulis warkah, kita seharusnya menjadikannya satu tradisi dari semasa ke semasa.  Selain meningkatkan kemahiran menulis, aktiviti ini juga akan dapat menajamkan pemikiran serta kreativiti ahli-ahli KAB. Ayahanda, anakanda ingin memberikan sekalung tahniah juga kepada ayahanda dan barisan AJK induk KAB yang telah berjaya memeriahkan tahun 2010 dengan pelbagai aktiviti yang bukan hanya meningkatkan silaturrahim yang sedia ada malah menabur bakti kepada komuniti di sekeliling.  Selain mengharapkan ganjaran daripada Allah SWT, kita juga secara tidak langsung mendidik generasi muda KAB nilai-nilai suka bersedekah, menginsafi nasib mereka yang  mempunyai kekurangan dan menyayangi mereka. Ayahanda, rasanya terlalu banyak yang anakanda ingin tuliskan di sini, namun anakanda percaya bahawa melakukan sesuatu itu hendaklah sedikit demi sedikit.  Ini adalah untuk memberikan kesan yang lebih baik.  Contohnya, jika kita makan tidak sesuai jika dilakukan sekali sehari dalam kuantiti yang banyak.  Ini akan memudaratkan sistem pencernaan kita.  Tatkala menyampaikan ucapan pula, jika terlalu panjang, audiens akan merasa bosan dan tidak dapat memberikan tumpuan kepada buah butir ucapan lagi.  Oleh itu, anakanda akan mengakhiri warkah ini setakat ini dulu.  Insya Allah  di kesempatan lain anakanda akan cuba menulis lagi. Anakanda ingin memohon ribuan kemaafan seandainya terdapat mana-mana bahagian di dalam warkah ini yang menyentuh perasaan ayahanda.  Anakanda adalah manusia biasa yang tidak sunyi daripada membuat kekhilafan.  Anakanda akan sentiasa mendoakan kesejahteraan keluarga besar Al-Bajuri kerana anakanda merasa amat bersyukur dilahirkan dalam kalangan keluarga bahagia ini. Sekian, salam anakanda sekeluarga buat bonda dan seluruh keluarga di Shah Alam. Wassalam. Anakandamu, M.  Azlin bt Sajadi

No comments: