Friday, April 8, 2011

Madu dan Racun

PAGI hari. Anda menghadap segelas teh tarik dan sekeping roti canai. Tiba-tiba seekor lalat jatuh ke dalam cawan minuman anda. Apakah anda akan meminum airnya? Anda mungkin tidak meminumnya kerana jijik dengan lalat tersebut. Pada hal dari segi saintifik air itu selamat diminum setelah lalat direndam seluruhnya di dalam air kemudian dibuang. Lalat yang biasa kita temui dan dibincangkan di sini merujuk kepada lalat rumah.

Definisi

Nama saintifik lalat rumah ialah Musca Domestica. Pengelasan lalat rumah menurut ilmu zoologi diletakkan di dalam order serangga yang dipanggil Diptera, iaitu serangga bersayap dua. Lalat mempunyai enam kaki dan badan bersegmen meliputi kepala, toraks, dan abdomen.

Kitar hidup.

Seekor lalat rumah (selepas ini hanya disebut lalat) melalui empat peringkat untuk mencapai kitar hidup yang sempurna. Perkembangannya bermula daripada telur, larva, pupa dan lalat dewasa. Satu kitaran lengkap mengambil masa di antara tujuh hingga sepuluh hari di bawah keadaan mantap. Masa ini dipengaruhi oleh kelembapan, ketahanan telur, suhu dan cahaya. Seekor lalat betina mampu bertelur sebanyak 2700 biji telur dan biasanya dalam kelompok-kelompok yang berbeza. Setiap kelompok mengandungi antara 350 hingga 900 biji telur.

Telur yang matang selepas enam jam ditingkalkan dan akan berkembang di dalam kepompong sehingga berukar menjadi lalat dewasa. Pada tempat yang lembap, larva boleh mendaki ke tempat yang lebih tinggi daripada permukaan kawasan telur ditinggalkan. Dalam satu kajian kes, terdapat larva yang berjalan sehingga 150 kaki daripada kawasan pembenihan. Larva kemudian bertukar menjadi pupa yang dilindungi kepompong dan membesar dalam masa tiga hingga enam hari. Lalat dewasa kemudian keluar dan akan bertelur selepas sebulan. Jangka hayat seekor lalat pula di antara satu dan dua bulan pada musim panas.

Cara makan.

Lalat tidak menggigit tetapi menyedut zat makanan seperti nyamuk dengan menggunakan belalai. Sebelum makan, lalat merembeskan saliva untuk melembutkan makanan. Hasil tindak balas kimia di antara saliva ke atas makanan menjadikannya bertukar dalam bentuk cecair, kemudian disedut. Lalat mempunyai lidah berbentuk penyedut (straw).

LALAT PADA PANDANGAN ISLAM

Pada asasnya, lalat amat bahaya kepada kesihatan manusia dan haiwan kerana menjadi vektor yang membawa dan menyebar organisma berpenyakit. Bakteria dibawa di luar permukaan badannya. Apabila hinggap di atas makanan, lalat juga meninggalkan najis yang akan menyebabkan keracunan.

Kisah lalat diceritakan dalam hadis nabi Muhammad S.A.W, pada suatu hari nabi bersabda yang bermaksud, "Jika seekor lalat jatuh ke dalam minuman kamu, rejamkannya ke dalam air. Satu sayapnya mengandungi racun manakala satu sayap lagi mengandungi penawar." (Hadis riwayat Bukhari, bilangan 537, jilid 4).

Perkara yang sama dicatatkan juga dalam hadis yang diriwayatkan oleh imam Ahmad, Abu Daud, at-Tahawi, Said bin Khalid dan Thumamah ibn Abdullah ibn Anas.

Shah Wali Allah Ad-Dahlawi mengatakan di dalam kitabnya Hujjatullaahu al-Baalighah bahawa hadis ini menunjukkan Allah bebas memberikan setiap spesies yang beracun sistem imuniti atau penawar.

Hal ini agar dapat memastikan kelangsungan hidup speasis tersebut. Racun pada lalat merupakan alat untuk mempertahankan dirinya sendiri daripada serangan musuh. Manakala penawar pula disediakan untuk memastikan keselamatan makhluk lain yang dicemari racunnya. Hukum timbal balik ini samalah seperti tindak balas di antara bes dan asid yang meneutralkan anatara satu sama lain.

Lalat dilengkapkan penciptaannya oleh Allah dengan kandungan penawar pada sayap sebelah kanan dan racun di sayap kiri. Apabila merasa terancam, seperti kakinya terlekat di dalam air mekanisma pertahanan diri akan bertindak secara spontan. Sayap sebelah kiri dikepak mencecah air agar racun yang dimiliki berupaya menewaskan musuh. Namun begitu, biasanya air yang melekat pada sayapnya tidak mampu memberi kekuatan kepadanya untuk terus terbang. Ketika itu, sayap sebelah kanannya masih lagi tidak mencecah air. Justeru kitalah yang terpaksa menyelamkan lalat ke dalam air bagi memastikan racun yang terserak dineutralkan semula.

Dr. Gyath Hassan Al-Ahmad di dalam bukunya At-Tibb An-Nabawi fi Daw Al-'Ilm Al-Hadith (Perubatan Kenabian dalam Sains Moden) melaporkan bahawa Dr. Nabih Da'ish menjalankan eksperimen di Universiti Raja Abdul Aziz, Riyadh. Dr. Nabih menyediakan sampel sepuluh kultur bakteria daripada air steril yang dimasuki lalat tanpa menyelamkan lalat. Sepuluh sampel yang ditenggelamkan lalat sekali, dua dan tiga kali masing-masing. Kemudian kesemua 40 sampel diperhatikan kandungan bakteria. Hasilnya, beliau mendapati koloni bakteria berkurang apabila jumlah selaman meningkat. Air yang tidak diselam lalat mengandungi paling banyak bakteria, manakala air yang diselam lalat sebanyak tiga kali mengandungi bilangan bakteria paling sedikit.

Selain itu, sekumpulan penyelidik yang diketuai oleh Dr. Jamaal Haamid dari Jabatan Mikrobiologi Perubatan, College of Science Qassim University menjalankan kajian penentuan jenis bakteria yang terdapat pada sayap lalat. Beberapa spesies lalat diambil untuk kajian. Dua piring petri diletakkan air steril, lalat dijatuhkan dalam piring kedua tanpa menenggelamkannya. Sebaliknya lalat dijatuhkan dan ditenggelam sepenuhnya dalam piring pertama. Hasil kajian mendapati lalat yang dikaji mempunyai bakteria E. Coli sp. (baca 'e-kolai') yang diperoleh dalam piring petri kedua. Manakala dalam piring petri pertama, sejenis antibiotik Aktinomiesis (Actinomycis) diekstrak. Antibiotik ini merupakan antigen dalam sistem imun yang memusnahkan fungsi bakteria yang bertindak selaku patogen.

Penemuan yang menarik ini menentusahkan kehadiran racun dan penawar yang terdapat pada kedua-dua sayap lalat. Kajian oleh kumpulan Dr. Jamaal juga mengambil kira speasis lalat selain lalat rumah. Keputusan menujukkan walau pun jenis bakteria yang dimiliki berbeza, jenis antibiotik tetap sama. Antara jenis bakteria yang diperoleh dalam kajian ini termasuklah Staphylococcus sp., Salmonellas sp., Proteus sp., dan Coynibacterium Dephheroid.

Perkembangan teknologi perubatan akhirnya menggerakkan saintis sama ada Islam atau Barat untuk mengkaji kesasihan hadis rasulullah S.A.W ini. Dua penemuan sains yang dijalankan oleh saintis Islam mengesahkan kebenaran hadis nabi Muhammad S.A.W. Kita selaku orang yang beriman kepada kerasulan nabi Muhammad harus merasa takjub, lantas meningkatkan lagi keyakinan kita terhadap ajaran yang dibawa oleh baginda. Perkara ini sekurang-kurangnya menjadi hujah kepada orang yang beriman bagi menolak tohmahan kononnya nabi seorang ahli sihir atau seorang yang pandai mereka-reka perkara yang tidak pasti.

Bagaimana nabi Muhammad S.A.W mengetahui perkara ini sedangkan pada waktu itu belum ada teknologi yang canggih untuk mengesahkan kesahihan hadis baginda? Hal ini tidak lain melainkan nabi Muhammad S.A.W mendapat ilham daripada Allah secara langsung. Sesuailah dengan sifat baginda apabila bercakap. Allah menegaskan di dalam ayat 3 dan 4 surah an-Najm, mafhumnya;
"Dan dia (Muhammad) tidak bercakap mengikut hawa nafsunya. Melainkan apa yang diwahikan oleh pemberi wahyu (Allah)"

Glosari

Ø Antigen – Antibodi yang menjadi agen perencat kepada keaktifan virus dan bakteria yang menyerang sistem tubuh.
Ø Patogen – Bendasing yang hadir dalam bentuk bakteria atau virus yang mengganggu sistem pertahanan tubuh.
Ø Kultur – proses pembiakan bakteria yang digunakan dalam bidang biokimia, bioteknologi dan perubatan.
Ø Steril – bebas daripada sebarang bakteria atau bendasing.
Sent by Hj Zawal from my BlackBerry® smartphone

No comments: