Saturday, November 26, 2011

salam Maal-Hijrah

Hijrah menurut pengertian umum ialah meninggalkan larangan Allah dan melaksanakan perintah-Nya, bagaimanapun dalam pengertian yang lebih luas, ia membawa maksud keluar daripada medan perjuangan yang sempit ke gelanggang yang lebih luas dan ia adalah pemisah di antara yang hak dengan yang batil.

Konsep hijrah yang dianjurkan Islam sangat sesuai dijadikan model dalam masyarakat berbilang kaum supaya hidup dalam kesepakatan dan aman sejahtera. Semangat itu juga konsisten dengan semangat Aidiladha yang baru berlalu. Di sebalik semua saranan itu, masih ramai umat Islam masih terhimpit dengan desakan globalisasi, kemiskinan dan kemunduran.

Kemunduran berpunca daripada sempitnya akal fikiran, ketidaksanggupan manusia untuk berubah, kejahilan serta sikap tamak dan rakus yang natijahnya memakan diri dan masyarakat.

Setiap umat Islam mesti bersemangat dan menanam cita-cita untuk berubah. Berubah daripada sifat yang kurang baik kepada yang lebih bermakna untuk diri dan masyarakat. Hakikat ini juga bermakna umat Islam harus berani melakukan perubahan dan pengorbanan.

Hijrah tidak akan terjadi jika umat Islam belum bersedia mengorbankan tabiat lama yang kurang baik seperti membuang masa, suka berhibur serta tidak berfikiran terbuka.

Hijrah sepatutnya membawa perubahan dalam hidup ke arah yang lebih baik, sempurna dan diredai Allah, di mana hasilnya ialah kemenangan kita dalam mempertahankan akidah, agama, cara hidup dan nilai yang kita amalkan.

Pengorbanan yang dilakukan dengan ikhlas dan penuh yakin pasti akan membuahkan hasil terbaik. Perlu difahami bahawa hijrah adalah syiar keimanan, sama ada hijrah dari suatu tempat kekufuran, kemusyrikan dan kejahilan kepada tempat yang dinaungi akidah keimanan dan hakikat kebenaran.

JANGAN LUPA BACA DOA AWAL DAN AKHIR TAHUN YE..

No comments: