Friday, October 22, 2010

coretan 1

Minda negatif selain daripada memberi kesan kepada pemikiran, ia juga akan memberi kesan kepada perbuatan negatif yang menghalang kejayaan.
Saya rasa tidak perlu saya tulis senarai minda negatif serta perbuatan negatif itu.Cuma beberapa contoh seperti mudah cepat putus asa,lemah semangat,malas,penakut,berfikiran negatif dan lain-lain.
salah satu lagi contoh minda yang negatif ialah..suka benar mencari kesalahan orang lain..kenapa dan mengapa perlukan perkara sedemikian?Sebenarnya boleh mengkritik siapa pun, tapi dalam menyampaikan kritikan sebaiknya kita tetap menghormati orang yang kita kritik. sebaiknya kita menyampaikannya dengan cara yang baik, ramah dan lembut, tapi kemukakanlah pendapat kita dengan cara yang baik, santun dan bijak.kerana itukan dinamakan ADAB..
Adap melambangkan kesopanan dan ketatasusilaan peribadi.. Keperibadian melambangkan harga diri.. Harga diri pula melambangkan nilai sebuah kehidupan..


Tuesday, October 19, 2010

perhatian...

Bacaan puisi serta mendeklamasikan sajak...jom warga AB yang dikasihi sekelian,kita sertainya.dengar khabar ada hadiah menarik disediakan..bila?hari SABTU ni,sempena mesyuarat kali ke-8 Keluarga Al-Bajuri di 23,Jalan Seri Bayu 7,Bagan Lalang (rumah Abg.Ndol)..bermula sekitar jam 8.00 malam..keterangan boleh hubungi abang ndol di talian 017-2810504 atau Puan Suhaila 012-2140228..

Monday, October 18, 2010

percubaan pertama

Sombongnya manusia itu…
Apabila telah menjadi kaya, lupa pada asal usul..
Hilang segala perasaan simpati..
Hati dipenuhi dengan material-material..
Tidak peduli dengan agama,
yang penting duit penuh dipoket…

Sombongnya manusia itu
Tatkala pangkat makin tinggi ..
Berjalan mendongak ke langit…
Menghina orang sesuka hati…
Tanpa disedari yang dibawah lebih berbakti..

Sombongnya manusia itu..
Dianugerahkan tuhan fizikal yang cantik..
Menghina mereka yang hodoh..
Dan bermegah-megah dengan kecantikan..
Sedangkan hati AMAT busuk sekali…

Sombongnya manusia itu…
Memiliki segulung ijazah hebat sekali…
Di rasakan diri bijak sekali..
Semua dianggap kurang bijak..
Dirinya sahaja amat mengetahui ..
Sedangkan ilmunya hanya sekecil nasi…

Sombongnya manusia itu..
Bermegah dengan anugerah..
Kejayaan dicanang sana sini…
Sedangkan jasa hanya sekali..

Oh tuhan..
Semoga kesombongan ini tidak melekat pada hatiku serta keturunanku..
Aku takut ku kan jadi seperti mereka..

Kawan-kawan…
Andai ku tewas dengan bisikan syaitan..
Kau sedarkanlah aku....

Sunday, October 17, 2010

SEKADAR BERKONGSI ILMU...2

[Al-Baqarah, Ayat : 264]
Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan menyebut-nyebut dan menyakiti perasaan si penerima seperti orang yang membelanjakan hartanya kerana riak kepada manusia, dan tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat. Maka bandingan orang itu ialah batu licin yang ada tanah di atasnya, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkannya bersih licin. Mereka tidak mendapat sesuatu pun dari apa yang mereka usahakan. Dan Allah tidak akan memberi petunjuk kepada kaum yang kafir.

[Al-Baqarah, Ayat : 265]
Dan bandingan orang yang membelanjakan hartanya kerana mencari keredhaan Allah dan keteguhan (iman) yang timbul dari jiwa mereka, adalah seperti sebuah kebun di tempat yang tinggi, yang ditimpa hujan lebat, lalu mengeluarkan hasilnya dua kali ganda. Kalau tidak ditimpa hujan lebat, maka hujan renyai-renyai pun (cukup untuk menyiraminya). Dan, Allah sentiasa Melihat apa yang kamu lakukan.

[Al-Baqarah, Ayat : 266]
Adakah seseorang di antara kamu suka mempunyai sebuah kebun dari pokok tamar dan anggur, yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, ia mempunyai dalam kebun itu segala jenis buah-buahan, sedang ia sudah tua dan mempunyai anak cucu yang kecil, lalu kebun itu diserang angin taufan yang membawa api lalu terbakarlah ia? Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu keterangan-keterangan, supaya kamu berfikir (dan mengambil iktibar).

Sheikh Sya’rawi berkata: “Mereka yang seperti batu yang licin yang ada padanya debu kemudian datangnya hujan tanpa meninggalkan sebarang bekas merupakan sifat-sifat bagi siapa yang dikehendaki dengan infak secara riak kepada manusia. Lantas Allah membatalkan balasan untuk mereka dan tidak mentaufikkan ke arah kebaikan dan pahala. “Seterusnya Allah menyebut yang berlawanan dengan sifat di atas iaitu mereka yang menafkahkan semata-mata kepada Allah SWT”.

Firman Allah SWT, Dan perumpamaan orang-orang yang membelanjakan hartanya kerana mencari keredaan Allah dan untuk keteguhan jiwa mereka, seperti sebuah kebun yang terletak di dataran tinggi.

Sayyid Qutub berkata: “Ia menginfakkan harta kerana keyakinannya yang teguh kepada kebajikan, kerana kesedaran yang lahir dari keimanannya dan kerana keimanannya yang bertunjang dengan mendalam di dalam hati nuraninya.

“Jika hati yang keras ditutup dengan tabir riak itu dilambangkan dengan batu licin yang keras yang ditutupi tanah, maka hati yang mukmin itu dilambangkan dengan sebuah kebun yang subur yang mempunyai tanah yang dalam, dibandingkan dengan segenggam tanah di atas batu yang keras tadi, sebuah kebun yang terletak di atas sebuah dataran yang tinggi dibandingkan dengan segenggam tanah di atas batu keras yang licin tadi.

“Ini menjadikan pemandangan itu mempunyai bentuk-bentuk yang selaras. Apabila kebun ini ditimpa hujan lebat, maka ia tidak menghakiskan tanahnya yang subur sebagaimana ia menghakiskan tanah yang tipis di atas batu yang pejal itu. Malah ia menghidupkan tanam-tanamannya dan menyuburkan serta membanyakkan hasilnya”.

Firman Allah SWT: Yang disiram oleh hujan lebat, Maka kebun itu menghasilkan buahnya berlipat ganda. Jika hujan lebat tidak menyiraminya, Maka hujan gerimis (pun memadai).

Al-Nasafi berkata: “Allah SWT umpamakan hal mereka dengan kebun yang disirami air dan nafkah yang banyak dan sedikit dengan hujan yang banyak sebagaimana setiap satu daripada hujan boleh menggandakan hasil tanam begitu juga nafkah mereka yang banyak dan yang sedikit selepas daripada dituntut dengannya keredaan Allah akan bertambah dan baik kesudahannya”.

Melipat ganda, Sayyid Qutub berkata: “Air hujan itu menghidupkan pokok di kebun itu sebagaimana sedekah menghidupkan hati yang mukmin lalu ia menjadi bersih dan bertambah kuat hubungannya dengan Allah, dan hartanya juga turut bersih dan Allah melipat gandakan balasannya seberapa banyak yang ia sukai, dan seterusnya kehidupan kelompok muslimin juga turut menjadi bersih, baik dan berkembang subur dengan sebab infak itu”.

Beliau menambah: “Yakni jika tidak ada hujan yang lebat, maka hujan gerimis yang sedikit cukup untuk tanah kebun yang subur itu. Itulah satu adegan yang sempurna yang memaparkan pemandangan- pemandangan yang bertentangan dan dengan perincian-perincian yang tersusun rapi. Ia dibentangkan dengan cara keselarasan yang melemahkan manusia.

“Ia melambangkan setiap perasaan di dalam hati dan setiap fikiran dengan pemandangan-pemandangan yang jelas. Ia menggambarkan perasaan-perasaan dan pergerakan-pergerakan jiwa dengan keadaan dan pemandangan- pemandangan fizikal yang setanding dengannya. Ia menyarankan ke dalam hati supaya memilih jalan yang betul dengan cara mudah yang terbaik”.

Firman Allah SWT: Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu perbuat.

Al-Nasafi berkata: “Allah melihat segala amalanmu sama ada banyak atau sedikit serta mengetahui niatmu sama ada riak atau ikhlas.

“Oleh sebab dengan ini dari satu aspek yang menjadi tontonan mata kasar dan mata hati dan segala yang disebut di dalamnya juga dikembalikan kepada Allah Yang Maha Melihat dan Mengetahui segala apa yang ada di sebalik segala yang nyata”.

Firman Allah SWT: Apakah ada salah seorang di antaramu yang ingin mempunyai kebun kurma dan anggur yang mengalir di bawahnya sungai-sungai; dia mempunyai dalam kebun itu segala macam buah-buahan.

Al-Maghari berkata: “Telah berlangsung sunah al-Quran bahawa menyebut kemuliaan dengan buah dan pohon kurma dengan buahnya kerana setiap sesuatu dari pohon kurma semuanya memberi manfaat kepada kehidupan manusia sama ada daunnya, batangnya, mayangnya, pelepahnya yang boleh digunakan kesemuanya”.

Sayyid Qutub berkata: “Ia sebuah kebun yang teduh, rimbun, subur dan berbuah. Demikianlah juga sifat sedekah dan kesan-kesannya dan beginilah keadaannya dalam hidup si pemberi, dalam hidup si penerima dan dalam hidup masyarakat manusia.

“Demikianlah juga sedekah itu mempunyai roh, bayang yang teduh, kebajikan dan keberkatan, mempunyai makanan dan minuman dan mempunyai kebersihan, kesuburan dan pertambahan.

“Siapakah yang ingin mempunyai kebun atau kebajikan yang seperti ini kemudian ia melepaskan (ribut) perbuatan yang membangkit- bangkitkan pemberian dan perkataan yang menyakitkan hati dan memusnahkan kebajikan itu sebagaimana kebun dimusnahkan oleh ribut yang kencang yang mengandungi api.

“Bilakah kebun itu dimusnahkan? Ia dimusnahkan pada waktu tuannya berada dalam keadaan yang paling lemah untuk menyelamatkannya dan paling berkehendak kepada bayang-bayang yang teduh dan hasilnya yang baik”.

Firman Allah SWT: Kemudian datanglah masa tua pada orang itu sedang dia mempunyai keturunan yang masih kecil-kecil. Maka kebun itu ditiup angin keras yang mengandung api, lalu terbakarlah.

Ibnu Jauzi berkata, ayat ini menggambarkan perumpamaan Allah dengan sebab kerugian ketika ditarik nikmat ketika keperluan yang amat mendesak.

Orang yang dimaksudkan ini terdapat tiga pandangan ulama :

Pertama: Bahawa ia diumpamakan yang disudahi kehidupannya dengan amalan yang tidak baik seperti kata Ibnu Abbas.

Kedua: Bahawa ia diumpamakan seperti orang yang cuai pada ketaatan kepada Allah sehingga mati. Inilah pendapat Mujahid.

Ketiga: Ia diumpamakan seperti orang yang riak dalam nafkah yang terputus manfaatnya ketika ia amat perlu. Inilah pendapat As-Suddi.

Firman Allah SWT: Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepada kamu supaya kamu memikirkannya.

Ibnu Kathir berkata: “Supaya kamu mengambil iktibar dan memahami segala perumpamaan dan makna dan kamu menurunkannya mengikut apa yang dikehendakinya”.

Iktibar Ayat :

  • Perumpamaan untuk mendekatkan kefahaman (tentang keikhlasan).
  • Infak kerana Allah mendapat ganjaran yang besar.
  • Mengisbatkan sifat Allah yang Maha Melihat.

Friday, October 15, 2010

hari ini hari JUMAAT




Hari ini Jumaat menjelang lagi. Aku teringatkan pada zaman jahiliahku dahulu . Hari Jumaat kuanggap tiada bezanya dengan hari-hari lain. Aku maklum betapa besarnya kelebihan berselawat. Aku tahu Allah menyuruh banyak berselawat kepada kekasihNya Rasullullah s.a.w pada hari Jumaat. Aku maklum kelebihan datang awal untuk bersolat Jumaat. Aku tahu sunnah mandi sunat Jumaat sebelum hadir ke masjid. Aku juga faham saranan baginda agar banyak bersedekah pada hari Jumaat. Aku sedar adanya satu saat doa mustajab pada hari Jumaat. Aku ada membaca, aku ada mendengar , aku punyai banyak maklumat, namun sekadar tahu saja, namun tiada kekuatan untuk beramal. Jumaat datang berkali-kali. Minggu berganti minggu dan bulan berganti tahun. Oh! betapa ruginya zaman itu.

Hari ini, Jumaat menjelang lagi. Akan kelihatan berpusu-pusu orang datang ke masjid. Namun berpusu-pusu juga orang memenuhi gerai-gerai makanan dan jualan di sekitar masjid. Melihat lebih ramai lagi yang duduk-duduk bersembang di bawah-bawah pokok, di atas motor hatta di serambi masjid. Oh!…melihat gelagat itu, aku segera melihat ke dalam diri. Seperti itulah zaman jahiliahku dahulu. Aku melihat tetapi tidak nampak. Aku mengerti namun tidak faham. Maka, Jumaat demi Jumaat aku lalui sepertinya hari-hari biasa. Tidak terdetik pun keistimewaannya. Tidak terpanggil pun untuk memuliakannya.

Hari ini Jumaat datang lagi. Aku akan bersihkan diri dengan niat mandi sunnat Jumaat

Hari ini Jumaat datang lagi. Aku sudah siapkan pakaian istimewa untuknya .

Hari ini Jumaat datang lagi. Wangian juga telah aku sediakan.

Hari ini Jumaat datang lagi. Aku sudah rancangkan jam berapa harus bersila di saf paling depan.

Hari ini Jumaat menjelang lagi. Aku sudah sediakan duit kecil untuk kumasukkan ke dalam tabung masjid.

Hari ini Jumaat datang lagi. Aku sudah siapakan senarai permohonan yang akan disuarakan pada Allah pada saat antara dua khutbah nanti.

Hari ini Jumaat datang lagi. Aku impikan untuk sasarkan membaca 1000 x selawat.

Hari ini Jumaat datng lagi. Aku akan mengkhatamkan surah al-khafi

Hari ini Jumaat datang lagi. Aku Aku impikan untuk membaca sekurang-kurangnya satu juzuk al-Quran

Aku teringatkan pada sebuah hadis,

“Sesungguhnya Allah s.w.t para malaikat serta penghuni langit dan bumi hinggakan semut yang ada di dalam lubangnya dan ikan yu yang ada dilautan, semuanya memohon rahmat untuk mereka yang mengajar orang ramai ke arah kebaikan.” (Diriwayatkan oleh Tirmizi)

Hari ini Jumaat datang lagi.Oh! kukuku juga sudah panjang…rambutku? misaiku?janggutku…

Aku bertekad untuk menjadikannya Jumaat hari ini lebih baik dari minggu sebelumnya.