Saturday, October 24, 2009

Article on Iffa's Reception at Berita Harian

Direnjis-renjis: Cinta jarak jauh

Oleh Shaidah Shafie
shasha@bharian.com.my




Percintaan Bilal dan Fariza umpama peribahasa ikan di darat asam di laut, di dalam periuk bertemu jua

KEBUNTUAN yang dialami sekian lama akhirnya terlerai apabila beliau mengambil keputusan menulis surat kepada bapanya bahawa beliau akan disunting seseorang dalam masa terdekat. Baginya, agak sukar untuk meluahkan rahsia hati walaupun hakikatnya jarak antara dan beliau dan bapanya hanyalah sekadar beberapa langkah kerana mereka tinggal sebumbung.

Bagaimanapun, kehalusan hati budi Fariza Ariffah Dr Zabir menulis bingkisan untuk bapanya bagi menyatakan hasrat hati mendirikan rumah tangga dianggap sebagai sesuatu yang sangat peribadi, tetapi tulus.

“Saya tidak tahu apakah cara terbaik memberitahu bapa kerana bakal suami saya ini sangat istimewa orangnya dan beliau bukan berada di Malaysia. Selain itu, saya juga tidak mahu mendukacitakan bapa terutama dalam hal sebegini.

“Mahu atau tidak, saya mesti memberitahu bapa kerana si dia bercadang mengunjungi saya bagi mendapatkan kebenaran untuk memperisterikan saya,” katanya sambil tersenyum manis dalam persalinan gaun labuh berjilbab seakan wanita Arab.

Memulakan kisah, Fariza bertemu bakal suami ketika mengunjungi Beijing atas urusan pendidikan dan kemanusiaan pada 2007. Selepas pulang dari Beijing, kemudahan teknologi yang ada memudahkan beliau meneruskan persahabatan dengan Bilal Ilhan melalui jaring elektronik.

Fariza dan Bilal bersama kedua-dua ibu bapa Fariza, Datuk Zabir Bajuri dan Datin Saodah Malek.

“Saya pada mulanya tidak pernah terfikir Bilal akan menjadi suami saya kerana kami tidak pernah bercakap mengenai perkahwinan. Perkara yang sering dibahaskan bersama Bilal ialah mengenai agama dan kehidupan yang menuntut manusia melakukan banyak perkara untuk memperoleh kesempurnaan dalam hidup.

“Tambahan pula, Bilal dilahirkan di Turki dan warganegara sana walaupun beliau melanjutkan pelajaran di Beijing. Saya tahu Turki adalah sebuah negara moden dan sekular, tetapi Bilal dan keluarganya masih mengamalkan pegangan agama yang kuat, inilah yang menyenangkan hati saya,” katanya.

Ternyata Fariza berada di atas landasan yang betul apabila Bilal juga berasakan sesuatu yang sama mengenai Fariza, iaitu pendirian mereka terhadap agama yang wajar dijunjung dan didahulukan berbanding semua perkara menyebabkan masing-masing saling tertarik walaupun tidak pernah menyuarakan rasa hati.

“Pada pertengahan 2008, Bilal mengunjungi saya di Kuala Lumpur dan kami mengadakan persiapan rapi bagi meraikan kedatangannya walaupun dia hanya datang seorang diri tanpa keluarga.

Fariza dan Bilal bersama keluarga di Istanbul.

“Kedatangannya juga adalah kedatangan silaturahim kerana kami tidak pernah berbincang mengenai majlis bertunang mahupun perkahwinan walaupun ketika itu saya dan Bilal sudah menemui kata putus,” katanya.

Kecil tapak tangan nyiru ditadahkan, Bilal disambut dengan meriah oleh keluarga Fariza. Ibarat kata hajat yang baik tentunya dipermudahkan Allah, bapa Fariza, Datuk Dr Zabir Bajuri menerima Bilal dengan tangan terbuka lantaran tutur kata dan budi bahasa Bilal yang begitu menghormati orang tua serta seluruh kaum keluarga Fariza.

“Bapa mengadakan sidang video dengan keluarga Bilal di Istanbul, Turki. Keadaan menjadi lebih ceria kerana daripada perbincangan bertanya khabar menjadi kepada perbualan yang lebih serius dengan ahli keluarga Bilal walaupun melalui sidang video.

“Paling membahagiakan saya ialah apabila bapa menerima bakal suami saya seadanya. Dengan segala kebaikan yang ada pada Bilal dan mungkin niat kami ikhlas, persiapan dilakukan untuk majlis perkahwinan kami,” katanya.

Pada majlis perkahwinan yang unik itu, hantaran yang diberikan Bilal kepada Fariza adalah tujuh dan dibalas tujuh juga oleh Fariza yang menyediakan sendiri barang hantaran daripada pihak Bilal memandang kesemua keluarga sebelah bakal suami datang jauh dari Turki.

Paling mengujakan Fariza, majlis bertandang di Istanbul disertai oleh seluruh ahli keluarga, saudara-mara dan sahabat-handai keluarga mereka kerana selain menghadiri majlis istimewa, mereka juga seakan-akan mengalami percutian indah serta menggembirakan lantaran majlis berkenaan diadakan di kawasan tepi laut di kediaman keluarga Bilal.

“Saya menganggap majlis bertandang di rumah keluarga Bilal seperti acara bulan madu kerana lokasi majlis diadakan berdekatan dengan kawasan pantai. Memang amat menyenangkan kerana keluarganya meraikan kami dengan penuh kemeriahan seperti kami meraikan kedatangan mereka ke Kuala Lumpur.

“Saya yakin pilihan saya tepat kerana Bilal dan keluarganya mengamalkan ajaran Islam walaupun Turki begitu moden dan sekular. Laungan azan daripada masjid juga kedengaran setiap kali masuk waktu dan hal ini sudah amat menyenangkan saya,” katanya yang kini menyambung pengajian peringkat sarjana di Universiti Malaya.

Setiap ibu bapa mahukan terbaik untuk anak

SEBAGAI anak bongsu daripada empat beradik, Fariza Ariffah ditatang bagai minyak yang penuh oleh ibu bapa, Datuk Dr Zabir Bajuri dan Datin Saodah Malek. Segala kehendak cuba dipenuhi lebih-lebih lagi perkara berkaitan pendidikan kerana beliau berpendapat pendidikan adalah asas terpenting dalam kehidupan setiap individu.

Justeru selain pendidikan agama, Dr Zabir turut menghantar Fariza melanjutkan pelajaran ke luar negara mengikut jejak langkah ketiga-tiga saudaranya yang lain walaupun berat hati beliau dan isteri untuk melepaskan anak yang selama ini membesar di depan mata mereka.

“Fariza mampu berdikari walaupun kami tiada di sisi. Dia amat memberatkan asas Islam selain menggemari kerja kebajikan dan sosial yang mendatangkan manfaat kepada masyarakat. Apabila dia memberitahu ingin berkahwin, saya tidak memberikan sebarang kenyataan kerana yakin dengan pilihannya.

“Saya tidak mengetahui dia sudah mempunyai pilihan, tetapi cara dia menyatakannya kepada saya melalui surat yang ditulis membuatkan hati kecil saya tersentuh. Alhamdulillah Bilal juga adalah pemuda yang baik dan memenuhi ciri sebagai suami,” katanya.

Sebelum menerima Bilal sebagai menantu, Zabir turut menguji Bilal dengan beberapa perkara seperti meminta Bilal memperdengarkan bacaan al-Quran dan menjadi imam bagi mereka sekeluarga ketika menunaikan solat.

“Alhamdulillah, dia menunaikan permintaan saya dengan jayanya. Saya meminta dia berbuat demikian bukan bermaksud tidak mempercayai kemampuannya, tetapi yakin bahawa setiap ibu bapa mahukan yang terbaik untuk anak mereka.

“Perkahwinan anak bongsu saya dengan Bilal Ilhan, lengkap sudah kehidupan mereka dan saya serta isteri berdoa semoga mereka bahagia hingga ke anak cucu,” katanya.

INFO:

Adat perkahwinan Turki


  • Mengikut kebudayaan di Istanbul, pengantin dikehendaki memakai selendang nipis yang dikalung di leher untuk memudahkan tetamu menyemat duit atau barang kemas sebagai hadiah perkahwinan.

  • Manisan Turki antara menu utama yang sering dijadikan hantaran.

  • Persalinan mempelai untuk majlis perkahwinan bercirikan Barat.

  • -Thanx Ms. Shaidah Shafie!!!

    No comments: